Oleh : Khartini Hamir . Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
GADONG, Isnin, 17 November. – Pada 1975, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) mula dikenali sebagai Pusat Tingkatan Enam dan merupakan Pusat Tingkatan Enam pertama ditubuhkan di negara ini.
Kemudian pada 1986, ia telah ditukar nama menjadi MDPMAMB.
Sehubungan dengan itu sebagai manifestasi kejayaan maktab berkenaan sebagai institusi tingkatan enam yang terulung dan tertua di negara ini, maktab berkenaan pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Festival Jubli Emas sempena Sambutan 50 Tahun Penubuhan MDPMAMB 1447 Hijrah / 2025 Masihi, bertempat di Auditorium Citra Gemilang.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi merasmikan pelancaran festival berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, yang merupakan mantan Pengetua MDPMAMB (1981).
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Doa Khas sempena Sambutan Jubli Emas, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan, Lagu Maktab dan Lagu Famili maktab berkenaan oleh Kelab Koir MDPMAMB.
Seterusnya ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengetua MDPMAMB, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, yang antara lain menggariskan selama lima dekad, MDPMAMB telah menjadi tunjang utama dalam melahirkan generasi pewaris bangsa, pemimpin, profesional, dan tenaga kerja mahir yang berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
“Lima dekad perjalanan MDPMAMB bukan sekadar satu angka, tetapi merupakan sejarah perjuangan, dedikasi dan komitmen seluruh warga pendidik, pelajar serta komuniti yang sama-sama membina kecemerlangan maktab sejak 1975," ujarnya.
Pengetua MDPMAMB juga mengongsikan Festival Jubli Emas berkenaan turut diisikan dengan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja mempamerkan kecemerlangan akademik, tetapi juga kreativiti, kemahiran insaniah, dan semangat keusahawanan para pelajar dan pensyarah.
Sebagai sebahagian daripada acara, penyampaian hadiah diadakan bagi pemenang Peraduan Mencipta Logo Jubli Emas, diikuti dengan penyampaian cenderamata khas kepada mantan-mantan pengetua sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka dalam membentuk identiti dan arah tuju maktab dengan meletakkan asas yang kukuh demi meneruskan legasi kecemerlangan dalam pendidikan pra-universiti di negara ini.
Majlis turut diserikan dengan persembahan khas bagi memeriahkan suasana sambutan.
Selepas majlis pelancaran, tetamu kehormat majlis bersama para jemputan khas dibawa melawat ke Pameran-pameran Jubli Emas di Perpustakaan Maktab dan Pusat Pembelajaran dan Perkhidmatan Pelajar (SLSC), sebelum menamatkan lawatan di Bazar Jubli Emas yang diadakan di kawasan letak kereta pensyarah.
Di SLSC mempamerkan perjalanan pendidikan maktab menerusi tema 'From Chalk to AI : 50 Years of Teaching and Learning Evolution' dengan memberikan penghormatan kepada dedikasi dan ketabahan para pensyarah serta warga MDPMAMB yang telah melalui lima dekad perubahan, inovasi dan pembangunan dalam dunia pendidikan.
Pameran yang disertai oleh 17 jabatan berkenaan juga turut mempamerkan kecemerlangan akademik, kreativiti dan pedagogi berkesan serta kejayaan Pelan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Plan) dalam bidang Fokus 'Cultivating Creativity and Innovation : Strategies to Improve Student Achievement in MDPMAMB'.
Seterusnya, Galeri Sanjungan Budi bertempat di perpustakaan maktab berkenaan yang memperlihatkan sejarah kegemilangan MDPMAMB dari 1975 hingga sekarang dengan koleksi gambar-gambar, buku-buku dan keratan-keratan akhbar selama lima dekad.
MDPMAMB telah dianugerahkan 'Outstanding School : Top School Improvement Plan 2025 Award' semasa Cluster Summit pada 13 November baru-baru ini, yang melayakkan MDPMAMB untuk bertanding di Anugerah Inovasi Sekolah Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
Pada masa yang sama juga, MDPMAMB turut dianugerahkan 'Outstanding School : Local and International Involvement Excellence Award 2025', melalui hasil pencapaian cemerlang para pelajar dalam aktiviti kokurikulum, sukan serta khidmat masyarakat bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Selama empat tahun berturut-turut juga, MDPMAMB telah berjaya meraih pengiktirafan cemerlang melalui Penilaian Keseluruhan Sekolah (WSE) yang merangkumi empat domain, iaitu Kepimpinan dan Pengurusan, Pembelajaran dan Pengajaran, Etos dan Persekitaran, dan Hasil Pembelajaran.
Majlis Pelancaran Festival Jubli Emas berkenaan menandakan kemuncak kepada rangkaian acara Sambutan Ulang Tahun Ke-50 MDPMAMB, yang meraikan lima dekad kecemerlangan akademik, kepimpinan, dan khidmat bakti kepada negara.